Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera korang,
Pada 21 Jun 2023 yang lepas, telah berlangsungnya Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 yang telah diadakan di Grand Ballroom, Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur yang telah dihadiri oleh Pengasas dan Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY), Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Raja Muda Selangor.
Program keusahawanan Liga Usahawan Wanita Selangor dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) ini adalah bertujuan untuk membangunkan taraf ekonomi wanita dari keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal dan wanita asnaf.
Seramai 10 finalis usahawan wanita yang telah membuat perbentangan pada Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023. Banyak produk yang telah diperkenalkan termasuklah perkhidmatan solekan, kerepek, aiskrim yogurt, perkhidmatan menjahit, penjualan nasi lemak, dan sebagainya.
Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 |
Program Liga Usahawan Wanita Selangor merupakan sebuah program untuk memperkasakan wanita dari latar belakang asnaf dan juga ibu tunggal dalam bidang keusahawanan dengan memberikan mereka kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan untuk menjana pendapatan melalui perniagaan.
Program ini berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran, dan juga rangkaian strategik komuniti perniagaan.
Program ini juga telah disokong oleh Duli Yang Teramat Mulia (D.Y.T.M.) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan YB Hajah Rodziah Binti Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Keusahawanan Negeri Selangor.
Pada fasa pertama program yang bermula dari April 2023, seramai 100 usahawan wanita diberi pendedahan melalui seminar perniagaan dan 30 orang peserta yang komited telah dipilih untuk menyertai kursus bimbingan keusahawanan bersama mentor.
Pengasas dan Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY), Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Raja Muda Selangor. |
Pemenang Program Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023:
⭐ Tempat Pertama: Sofea Chan Shu Fen binti Abdullah (Produk Snek Kulit Popiah)
⭐ Tempat Kedua: Nor Sabrina binti Nor Saidi (Servis Jahitan Cover Steering dan PU Leather)
⭐ Tempat Ketiga: Fauziah binti Abdus Somad (Produk Kerepek Sayuran)
3 Pemenang Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 menerima:
→ Trofi Ikon Liga Usahawan Wanita Selangor 2023,
→ Geran bernilai RM3,000 seorang,
→ Sijil penyertaan.
Tahniah dan selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua finalis Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 yang berjaya membuat perbentangan. Kepada yang menang, tahniah sebab dengan kemenangan ini dapat boostkan perniagaan dengan lebih jauh.
Peserta Finalis Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 |
🌸 Tempat Pertama: Sofea Chan Shu Fen binti Abdullah (Produk Snek Kulit Popiah)
Berkahwin dengan orang Melayu dan merupakan seorang mualaf. Sebelum ini pernah bekerja dengan syarikat swasta sebagai pengurus acara. Mula bertukar kearah bidang perniagaan F&B oleh sebab ekonomi yang tidak stabil.
Mula berniaga dengan katering dan pek makan tengah hari dari rumah, tetapi sebab banyak kekangan dalam perniagaan itu, maka tercetuslah idea untuk mengeluarkan jenama dan produk sendiri dan terhasillah snek Pop Yummy.
Tempat Pertama: Sofea Chan Shu Fen binti Abdullah (Produk Snek Kulit Popiah) |
🌸 Tempat Kedua: Nor Sabrina binti Nor Saidi (Servis Jahitan Cover Steering dan PU Leather)
Merupakan anak kedua daripada 5 beradik dan telah berkahwin selama 14 tahun. Perniagaan bermula dari tahun 2019 apabila suami bekerja sebagai pemandu e-hailing da membuat perkhidmatan menjahit cover steering separuh masa.
Pada tahun 2020, telah disahkan menghidap penyakit chiari malformation type 1 yang melemahkan bahagian saraf terutamanya di kaki dan tangan telah memaksanya untuk berhenti kerja seterusnya melibatkan diri secara sepenuh masa dengan membantu suami didalam perniagaan perkhidmatan menjahit steering cover kereta.
Tempat Kedua: Nor Sabrina binti Nor Saidi (Servis Jahitan Cover Steering dan PU Leather) |
🌸 Tempat Ketiga: Fauziah binti Abdus Somad (Produk Kerepek Sayuran)
Berasal daripada keluarga yang sangat susah dan mula belajar mencari duit sendiri sejak kecil lagi. Minat berniaga bermula dari zaman persekolahan telah menginspirasi dan mencetuskan idea untuk memulakan perniagaan.
Perniagaan ini telah bermula dengan niat untuk membantu suami mencari pendapatan sampingan dan untuk anak-anak dan berharap agar hasil usaha ini dapat membantu mengembangkan perniagaan.
Tempat Ketiga: Fauziah binti Abdus Somad (Produk Kerepek Sayuran) |
Perbentangan pada Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita tahun ini telah diadili oleh 5 juri berpengalaman yang terdiri daripada:
⭐ Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Raja Muda Selangor merangkap Pengasas dan Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY);
⭐ YBrs. Pn. Intan Nur Aqielah binti Ismail, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor;
⭐ YBrs. En Mohammad Syukri bin Ismail, Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH);
⭐ YBrs. Pn. Nurul Balkhis Arshad, Pegawai Pembangunan MARA Selangor;
⭐ YBrs. Cik Aida binti Zunaidi, Pengasas Ibupreneurs.
|
Finalis Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 |
🌸 Finalis: Norasyikin binti Ismail (Perkhidmatan Solekan)
Seorang asnaf dan ibu tunggal dan mempunyai 3 orang anak yang masih kecil. Memulakan perniagaan dengan niat ingin membesarkan anak dan meminati bidang ini sejak dari zaman persekolahan lagi. Mula berjinak didalam bidang solekan dan yakin bahawa bakat mampu menyolekkan orang lain.
Finalis: Norasyikin binti Ismail (Perkhidmatan Solekan) |
🌸 Finalis: Khaironizah binti Mohd Rani (Produk Kerepek Jejari)
Pada tahun 2012, kerepek menjadi pendapatan sampingan ketika masih bekerja di sektor swasta tapi setelah mula pencen pada tahun 2019, maka telah mula masuk kedalam perniagaan proses pembuatan kerepek tapi hanya jual apabila ada permintan sahaja.
Pada 2012, telah berjaya keluarkan resepi kerepek yang sedap dan mula dapat ramai pelanggan tetap dan kini telah mula memberi fokus sepenuhnya kepada proses pembuatan dan penjualan kerepek sebagai punca pendapatan utama.
Finalis: Khaironizah binti Mohd Rani (Produk Kerepek Jejari) |
🌸 Finalis: Norazura binti Kamarudin (Produk Perkhidmatan Langsir)
Merupakan seorang ibu tunggal yang memiliki empat orang anak. Ketika anak masih bersekolah, menjaga seorang ibu yang uzur, menjaga adik dan seorang abang OKU. Setelah mengikuti kursus dalam bidang jahitan, mengambil peluang membuka perniagaan kecil-kecilan selama 5 tahun dirumah.
Selepas berjaya membuka sebuah kedai jahit, mula mengambil tempahan dari rumah, pelanggan luar dan pejabat korporat. Bermula dengan kedai menjahit, mula belajar mengenai selok-belok perniagaan dan kini mempunyai pelbagai jenis pilihan kain.
Finalis: Norazura binti Kamarudin (Produk Perkhidmatan Langsir) |
🌸 Finalis: Anbasari a/p Ramathas (Produk Pakaian Kanak-Kanak)
Masih dalam proses perceraian dan mempunyai seorang anak yang berusia 9 tahun. Menjadikan perniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan sampingan untuk membantu membesarkan anak supaya mendapat pendidikan dan kehidupan yang lebih baik.
Finalis: Anbasari a/p Ramathas (Produk Pakaian Kanak-Kanak) |
🌸 Finalis: Ismaliza binti Ismail (Produk Aiskrim Yogurt)
Disebabkan minat yang mendalam dalam dunia perniagaan, mula menceburi bidang in dengan membuka tadika dan taska selama 20 tahun. Selepas kehilangan suami tersayang, bidang perniagaan adalah alternatif yang digunakan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Selepas pandemik Covid-19, niat untuk melahirkan ramai usahawan dan rakan niaga meningkat kerana mula berniaga produk aiskrim yogurt dengan jenama Dhanimz. Walaupun hanya sekadar agen, tetapi berusaha keras untuk melahirkan ramai usahawan dibawahnya.
Finalis: Ismaliza binti Ismail (Produk Aiskrim Yogurt) |
🌸 Finalis: Siti Farah Adlein binti Ab Hadi (Produk Air Boba)
Merupakan seorang ibu tunggal dengan 3 orang cahaya mata dan pernah bekerja dibeberapa syarikat namun jatuh sakit dan disahkan menghidap penyakit Ulser usus sehingga sekarang. Nekad untuk meneruskan kehidupan dengan berniaga Teh Ais Padu pada tahun 2018.
Namun, pada tahun 2019 anaknya disahkan menghidap kanser dan terpaksa berulang-alik dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu sehinggalah pada 10 Julai 2019 anaknya menghembuskan nafas terakhir.
Kembali bangkit pada tahun 2020, dengan semangat yang baru dengan meneruskan jualan air Boba dengan nama BobaHaven1007 sehingga sekarang dengan beberapa penambahan menu demi kelangsungan hidup dan 2 orang anak.
Finalis: Siti Farah Adlein binti Ab Hadi (Produk Air Boba) |
🌸 Finalis: Siti Nurain binti Mohd Rosli (Produk Makanan Nasi Lemak)
Menetap di Meru, Klang. Sebelum in hanya bergantung penuh kepada suami sahaja tetapi mash tidak mencukupi untuk membesarkan tiga orang anak. Maka, idea menjual nasi lemak tercetus kerana meminati dan menggemari Nasi Lemak.
Jenama Nasi Lemak Malam digunakan kerana sudah ramai peniaga yang menjual Nasi Lemak pada waktu pagi. Berharap agar perniagaan in dapat membantu suami membesarkan tiga orang anak yang mash lagi kecil.
Finalis: Siti Nurain binti Mohd Rosli (Produk Makanan Nasi Lemak) |
Tahniah juga saya ucapkan kepada 21 peserta lain yang turut menerima geran perniagaan bernilai RM1,000 seorang untuk membantu mereka memulakan perniagaan mikro masing-masing. Majlis penyampaian geran tersebut turut diberikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Raja Muda Selangor .
Tahniah dan selamat maju jaya saya ucapkan kepada penerima geran istimewa ini.
Tentang Selangor Youth Community (SAY)
Selangor Youth Community (SAY) telah diasaskan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor pada tahun 2017. SAY merupakan organisasi bukan kerajaan, bukan politik dan juga bukan berasaskan keuntungan yang berpegang teguh kepada matlamat untuk mewujudkan komuniti belia oleh belia yang dinamik, progresif dan cergas.
Berdasarkan kajian dan bengkel yang dijalankan oleh Boston Consulting Group untuk mengenal pasti golongan belia di Selangor, SAY telah bergerak berpandukan empat fokus utama iaitu Keusahawanan, Sukan dan Kesihatan, Seni dan Kreatif dan juga Khidmat Masyarakat, ia adalah untuk menyentuh secara menyeluruh minat dan fokus utama belia-belia di dalam negeri Selangor.
Liga Usahawan Wanita Selangor 2023
Website: entrepreneurshipselangor.com.my/luws
Selangor Youth Community (SAY)
Website: entrepreneurshipselangor.com.my
Email: hello@selangoryouth.com
Contact: 03-55235268
Zayani Zulkiffli.
1 Comments