Lokasi Menarik dan Tempat Makan Sedap di Tangkak Johor

Assalamualaikum dan hai korang,

Haritu saya ada post tentang perjalanan saya yang nak melawat Tangkak yang terletak di Johor. Ada lah beberapa orang yang tanya saya "Apa yang Menarik di Tangkak Johor?". Jadi, meh sini saya listkan Lokasi Menarik dan Tempat Makan Sedap di Tangkak Johor yang korang boleh singgah.

Tangkak terletak hanya lebih kurang 2 jam perjalanan dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan merupakan sebuah daerah yang baru daripada 10 daerah di Negeri Johor dengan jumlah bancian penduduknya seramai 132,778 orang. 

Antara lokasi yang menarik untuk dikunjungi kalau berada di Tangkak adalah untuk me Gunung Ledang sebab ini merupakan tarikan utama disini. Selain itu korang juga boleh makan makanan dan snek tempatan yang ada di Tangkak.

Lokasi Menarik dan Tempat Makan Sedap di Tangkak Johor


Sejarah Daerah Tangkak

Asal nama Tangkak: Diceritakan pada masa dulu, kawasan Tangkak ini merupakan kawasan selut yang menjadi laluan untuk penduduk dan peniaga untuk berjalan ke satu-satu lokasi. 

Terkenal dengan nama Tangkak sebab kalau orang dulu apabila ditanya nak kemana, maka deorang akan jawab nak "Nak pergi Tang Merangkak tu" yang dulunya mereka perlu merangkak untuk melepasi laluan lumpur tu.

Daerah Tangkak merupakan sebuah daerah di negeri Johor, Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai kawasan Muar Utara yang dipisahkan dengan bahagian selatan oleh Sungai Muar. Daerah Tangkak merangkumi bandar Tangkak, Tanjung Agas, Sungai Mati, Kesang, Serom, Sagil, Bukit Gambir dan Kundang.

Daerah Tangkak telah dirasmikan sebagai daerah baru pada 9 Jun 2008 oleh Sultan Johor pada masa itu, Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail. Pada mulanya daerah ini dinamakan daerah Ledang, tetapi pada 7 Disember 2015, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar telah memberi perkenan nama Tangkak bagi menggantikan nama daerah Ledang.

Lokasi Menarik dan Tempat Makan Sedap di Tangkak Johor


Taman Negara Johor Gunung Ledang
Alamat: Taman Hutan Lagenda, Batu 26, Jalan Segamat, 84020 Sagil, Tangkak, Johor.
Harga tiket: Dewasa RM5, Kanak-kanak/ Warga emas RM3
Waktu operasai: Jumaat - Rabu (8am-3pm)

Tangkak sinonim dengan nama Gunung Ledang yang tersergam indah lagi terkenal dan ianya juga menjadi salah satu pusat tumpaun pelancongan Negeri Johor. Salah satu bucket list yang saya nak buat kalau datang ke Tangkak semestinya melawat Gunung Ledang. 

Taman Negara Gunung Ledang terletak di pekan Sagil, Daerah Tangkak, Johor. Taman Negara Gunung Ledang mula beroperasi pada Julai 2003, dan telah diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada 3 Oktober 2005 dengan keluasan saiz taman seluas 8,611 hektar. 

Gunung Ledang, yang juga dikenali sebagai Mount Ophir (English) atau Kam San (Cina) merupakan puncak tertinggi di Johor dengan ketinggian 1,276 meter dari paras laut. Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang telah diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada Oktober 2005 dengan keluasan 8,611 Hektar.




Antara aktiviti menarik yang ada disini termasuklah:
🌈 Air Terjun,
⛰ Cabaran pendakian,
🍃 Kepelbagaian biologi,
🌳 Melihat permandangan dan keindahan semulajadi,
👸🏻 Legenda Puteri Gunung Ledang.

Korang juga boleh jumpa Kambing gurun, harimau kumbang kalau hiking di sini. Selain itu, terdapat juga spesis bunga rare, Orkid Selipar & Paku Pakis Cycas cantafolia yang hanya boleh dijumpai di Gunung Ledang.

Kalau datang ke Gunung Ledang, tak semestinya untuk hiking sahaja. Ramai je yang datang untuk melihat keindahan dan kemegahan Gunung Ledang dan tak kurang juga yang yang datang picnic sambil mandi sungai yang ada disini.




Happy Fruit Tangkak, Tangkak
Alamat: LOT PTD 29210, 84900 Tangkak, Johor.

Sempena dengan trip kami yang memang trip Durian hunting ke Tangkak, makanya kami ke Happy Fruit Tangkak, Tangkak untuk makan durian sepuas-puasnya disini. Banyak jenis duri kami cuba termasuklah: 

Antara durian yang korang kena rasa termasuklah:
⭐ Durian Kim Hong /Golden Phoenix
⭐ Durian Musang King,
⭐ Durian Black Thorn,
⭐ Durian D168 (IOI),
⭐ Durian D13, D24, 

Musim durian rugi kalau tak makan buah Durian Tangkak. Kat sini merupakan salah satu kawasan Durian Hub Agro Tourism Tangkak yang merupakan produk agrotourism di Johor. Antara pengeksport buah-buahan terbesar di Johor seperti durian dan buah naga.




Otak-Otak Ledang⁣
Alamat: TRC 40, Kg Pt Sialang, Mukim Kundang, Sg Mati, Tangkak, Johor.⁣
Tak sah pula lawatan ke Tangkak tapi tak rasa sendiri Otak-Otak Ledang. Diberikan nama Otak-Otak Ledang adalah kerana lokasi yang berhampiran dengan Gunung Ledang. Kami berpeluang untuk lihat sendiri cara pembuatan otak-otak.

Bertuahnya kami dapat lihat proses pembuatan dan pembungkusan otak-otak yang dibuat secara manual.⁣ Mereka menggunakan isi ikan segar seperti isi ikan surimi, ikan laut isi putih dan juga daun nipah fresh untuk memastikan kualiti produk otak-otak ni.⁣
Sedikit info untuk korang yang nak datang kesini, mereka hanya jual otak-otak frozen sahaja, boleh singgah untuk beli frozen otak-otak dan masak sendiri dirumah. Kalau korang nak tengok cara pembuatan pun boleh contact terus kedai Otak-Otak Ledang.
Antara hot item yang korang boleh cuba beli disini adalah: ⁣
✅ Otak-Otak Daun Nipah Frozen,⁣
✅ Popia Otak-Otak Frozen,
✅ Bebola Otak-Otak,
✅ Daging Burger Otak-Otak,
✅ Jejari Otak-Otak.



Warong Asam Pedas Kak Fyda⁣
Alamat: Lorong Wan Man, Lot 3674, Kg. Sagil Parit 2, Tangkak, Johor.⁣
Salam satu menu yang popular di Tangkak adalah masakan Asam Pedas sebab lokasi yang terletak dengan Melaka dan sebab itulah Asam pedas merupakan menu lauk makan tengah hari yang popular di Tangkak. 

Kami sempat makan tengah hari di sebuah gerak yang terletak hanya ditepi jalan, Warong Asam Pedas Kak Fyda⁣memulakan perniagaan bermula awal tahun 2020 dan mendapat sambutan yang menggalakkan, 
Warong Asam Pedas Kak Fyda menghidangkan pelbagai seleksi masakan asam pedas seperti:⁣
✅ Asam pedas kepala ikan,⁣
✅ Asam pedas ikan jenahak,⁣
✅ Asam pedas ikan kembong, ⁣
✅ Asam pedas ikan pari,⁣
✅ Asam pedas ikan parang,⁣
✅ Asam pedas ikan mayong,⁣
✅ dan banyak lagi.⁣

Selain itu, ada juga menu utama yang popular lain seperti menu masak lemak cili api.




Mee Siput Kak Chik
Alamat: Kg Sawah Ring, Tangkak, Johor.

Sebenarnya saya baru tahu yang salah satu snek makanan orang Johor yang popular adalah Mee Siput dan kat sini memang kalau pergi memana memang akan ada jual snek mee siput. Lepas tu, rasa dia pun lain sikit dengan jenis mee siput yang lain.

Kami berpeluang untuk tengok sendiri cara pembuatan Mee Siput secara tradisional di Mee Siput Kak Chik yang terletak di Kampung Sawah Ring, Tangkak, Johor. Ramai yang datang kat sini untuk borong mee siput resepi asli Tangkak.

Snek kudapan mee siput yang rupa dia seperti lingkaran bentuk cengkerang siput mempunyai tekstur ranggup yang menyerupai rasa rapuh kulit cengkerang siput apabila dikunyah di dalam mulut da menjadi pilihan tempatan sebagai snek.




Tambah menarik lagi, kami berpeluang untuk lihat sendiri proses pembuatan Mee Siput yang dibuat secara homemade daripada mula sampai habis. Dapatlah belajar macam mana proses membuat mee siput yang dihasilkan kat sini.

Mi Siput Muar yang diperbuat dengan menggunakan tangan dari adunan tepung yang digulung, ditarik dan dibentuk ke dalam rupa bebenang panjang seperti mi sebelum diputar dalam bentuk lingkaran seperti cengkerang siput. 

Lepas itu, akan dikeringkan dibawah jemuran matahari sebelum digoreng dalam minyak masak sehingga rangup. Proses buat mee siput renyah sebab prosesnya yang memakan masa. Nak beli pun murah kat sini, siap set dengan sambal yang sedap juga sekali.



Entry ini diterbitkan dari program FAM Trip Agro Tangkak-Muar Johor 2023 yang berlangsung pada 29-31 Mei 2023⁣ anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Pelancongan Majlis Daerah Tangkak.

Baca juga artikel ini:
🌸 Apa Nak Buat Itinerary 3H2M Ke Muar Johor 2023 [https://www.nurulzayani.com/2023/07/apa-nak-buat-itinerary-3h2m-ke-muar.html]
🌸 Tourism Malaysia Lancar Pakej Durian Tourism 2023 [https://www.nurulzayani.com/2023/06/pakej-durian-tourism-2023.html]

Tourism Malaysia
Website: www.malaysia.travel
Instagram: www.instagram.com/malaysia.truly.asia
Facebook: www.facebook.com/malaysia.travel.my


Till then,
Zayani Zulkiffli.

Post a Comment

0 Comments

FOLLOWERS