Apa Itu Fidyah & Adakah Perlu Ganti Puasa?

Assalamualaikum, 

Apa Itu Fidyah & Adakah Perlu Bayar Atau Ganti Puasa.
 
Terbaca posting daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) tentang fidyah (denda puasa) dan qada puasa (ganti puasa). Maka sebab itu saya kongsikan disini untuk bacaan korang yang mungkin juga mencari tentang Apa Itu Fidyah & Adakah Perlu Bayar Atau Ganti Puasa.
 
Saya tahu susah juga nak tahu berapa bayaran fidyah (denda tidak megantikan puasa) sebab tidak ganti puasa pada tahun yang lepas. Even saya sendiri pun ada beberapa hari yang saya tak terganti lagi. Disini saya kongsikan pengetahuan am tentang fidyah dan berapa kadar fidyah di Selangor.
 
 FIDYAH vs GANTI PUASA 🤔

Soalan: Apa Maksud Fidyah?
Fidyah ialah bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya.

Soalan: Wajib Ke Bayar Fidyah?
Hukum membayar fidyah adalah WAJIB, wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Soalan: Berapa Kadar Fidyah?
Ianya berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh LZS, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.80 sahaja.

 
 
Persoalan berkaitan siapa yang perlu bayar FIDYAH atau GANTI PUASA

⭐ UZUR MENUNAIKAN PUASA WAJIB
Iaitu golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak harapan sembuh dan juga golongan tua yang tidak mampu berpuasa.
↠ Wajib Fidyah dan Tidak Wajib Ganti Puasa.
 
⭐ WANITA HAMIL (Ada dua situasi wanita hamil):
a) Wanita hamil yang tidak mampu berpuasa kerana bimbang akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran.
↠ Wajib Fidyah dan Wajib Ganti Puasa.

b) Wanita hamil yang tidak mampu berpuasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri.
↠ Maka, Tidak Wajib Fidyah. Namun Wajib menggantikan puasa.

⭐ WANITA YANG MENYUSUKAN 
a) dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu.
↠ Maka, Wajib Fidyah dan Wajib Menggantikan Puasa.
 
b)Yang bimbangkan keselamatan dirinya sendiri.
↠ Maka, Tidak Wajib Fidyah dan Wajib Menggantikan Puasa.

⭐ MELAMBATKAN GANTI PUASA (QADHA)
Iaitu orang yang sakit biasa atau lain-lain sebab dan gagal ganti sehingga ramadhan seterusnya.
↠ Maka, Wajib Fidyah dan Wajib Menggantikan Puasa.

⭐ ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA
↠ Hutang puasa hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya.

______________________________________________

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama mazhab Syafie, dapat disimpulkan bahawa:

1. Sesiapa yang telah meninggalkan puasa wajib dengan sengaja ataupun tidak sengaja hendaklah mengqadha’nya (menggantikannya) semula mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan, sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

2. Sekiranya dia tidak mengqadha’nya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang telah dilangkaunya.

3. Sekiranya dia tidak pasti atau tidak ingat bilangan hari yang telah ditinggalkan, buatlah anggaran bilangan hari yang telah ditinggalkan mengikut sangkaannya (kecenderungan) yang paling kuat dan Ahwat (lebih berhati-hati). 
 
Misalnya : Dia tidak tahu berapa hari dia telah tinggalkan puasa, tapi dia rasa tidak lebih dua minggu. Jadi gantilah sebanyak dua minggu kerana itu yang diyakini (pasti) dan lebih berhati-hati. Begitulah juga halnya dengan fidyah bagi bulan-bulan Ramadhan yang telah dilangkau.
 
Soalan: Jika langkau tahun, kena bayar berganda tak? 
Jawapan: Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahu. Hanya kira jumlah keseluruhan puasa yang ditinggalkan dan darab dengan RM 1.80. Ketetapan berganda atau tidak adalah tertakluk kepada ketetapan mengikut fatwa Negeri-Negeri.

(* Lembaga Zakat Selangor (MAIS) LZS akan mengenakan tambahan RM0.05 sebagai upah untuk mengagihkan fidyah kepada asnaf.)

Soalan: Bagaimana cara untuk bayar zakat kalau kaunter tutup?
Cara nak bayar zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) secara dalam talian:
Caranya sangat mudah, boleh klik link ini untuk terus bayar: https://fpx.zakatselangor.com.my
 
 
 
Terima kasih banyak kepada Sara Sumayya, Amil Zakat Selangor atas perkongsian ini. Korang boleh rujuk posting asal di Facebook Lembaga Zakat Selangor disini: Entry asal.
 
 
 Selamat Menyambut Ramadhan Kareem
 
Ikhlas daripada,
Zayani Zulkiffli.

 

Post a Comment

0 Comments

FOLLOWERS