Wednesday, July 31, 2019

Travelog Iran: Yazd & Esfahan

Assalamualaikum dan salam sejahtera korang,

Saya nak sambung dari Travelog Iran: Teroka Sejarah Iran di Shiraz ke kawasan lain di Iran iaitu ke Yazd dan Esfahan. Pengembaraan kami ke sana adalah dengan menaiki bas express, jadi merasa lah peluang berjalan menggunakan bas dan lebuh raya di Iran.

Banyak kelebihan berjalan di Iran dengan bas. Salah satunya korang boleh tengok sendiri, kelainan tanah dan suasana bumi di Iran. Kawasan Yazd dan Esfahan lebih banyak gunung dan masih belum habis diteroka.

Perjalanan dengan kenderaan darat pun siap naik-turun gunung sebab kebanyakan lebuhraya besar masih dalam proses perancangan pembinaan. Tapi jangan risau, kat sana pun ada kawasna hentian rehat dan rawat.


Perjalanan dari Shiraz ke Esfahan mengambil masa dalam 5 jam. Lebuh raya di Iran ni jauh-jauh sebab negara ni sendiri memang besar, dari Utara ke Selatan sahaja dan 900KM+. Sepanjang perjalanan banyak permandangan memukau mata.

Dari Shiraz nak ke Esfahan lalu kat Yazd, alang-alang lalu, maka kami pun singggah di Yazd.


Kat Iran, seronok. Orang Iran kebanyakan peramah, kalau kita cakap, atau tanya sesuatu, sure mereka akan jawab. Kalau tak jawab tu mungkin mereka tak faham bahasa English. 

Ada satu pasangan ni, saya minta izin nak ambil gambar, lepas ambil, mereka siap beri saya rasa buah epal lagi. Manis buah dia. Lepas tu, setiap kali saya nampak kedai jual jus buah, saya akan beli jus epal sebab sedap. Haha.



Perkara yang paling saya suka buat bila travel adalah mencuba makanan lokal masyarakat di sini. Sempat juga saya makan makanan pelik orang di Iran seperti soft ice cream, donut, buah kurma campur kelapa, dan jagung dengan campuran pelik :D.

Wajib juga cuba teh dan gula-gula kat sini. Gula-gula punya la banyak jenis, dari karamel sampai gula batu semua ada. Peminat teh pun boleh ketagih teh di Iran, sebab sedap. Saya suka teh kosong tanpa gula, siap dihidangkan dengan kurma atau biskut untuk rasa manis.




YAZD, IRAN

Pasargadae

Pasargadae, merupakan ibu kota yang pertama pada zaman Dinasti Achaemenian. Dibina oleh Cyrus the Great pada 546 BC, tapi tak sempat siap sebab dia mati dalam peperangan, seterusnya dijadikan sebagai tapak persemadian Cyrus, anak lelakinya dan Cambyses II.

Walaupun Pasargadae merupakan ibu kota pada suatu ketika dahulu, tapi kat sini tiada tembok atau pagar yang menandakan kawasan. Pasargadae memang luas dan besar, siap ada trem yang boleh bawa korang meneroka kawasan disini.

 Pada tahun 2004, Pasargadae telah mendapat pengiktirafan dari UNESCO World Heritage Site.




Amir Chakmaq Complex





Dolat Abad Garden

Dolat Abad Garden, dibina pada tahun 1750 dan merupakan salah satu daripada 11 taman di Iran yang disenaraikan di bawah UNESCO World Heritage Site. Taman ini mengandungi banggunan utama yang dibina mengikut senibina arkitek Iranian dengan taman bunga yang besar.

Dihadapan banggunan utama, ada kolam panjang dan dikelilingi oleh pokok cypress yang tinggi-tinggi. Dalam kawasan taman pula ada pokok anggur dan buah delima. Bila musim buah, mereka akan ambil buah untuk dimakan.

Menara utama yang menjadi tarikan di Dolat Abad Garden berketinggian 33 meter, merupakan menara angin yang dimana telah dibina semua setelah ianya runtuh pada tahun 1960.





Zoroastrian Fire Temple

Saya berminat nak tahu tentang Zoroastrian sebab agama ini wujud sebelum kedatangan agama Islam dan merupakan agama pertama yang percaya dengan konsep "Tuhan itu satu", menjadikan Zoroastrian unik berbanding agama lain yang ada pada masa tu.

Zoroastrianism (Mereka anggap api itu tuhan) merupakan agama rasmi pada zaman Empayar Persia dahulu kala, dan Yazd adalah bandar utama untuk pengganut agama ini. Kalau dulu, Zoroastrianism ni penting sebab melambangkan budaya masyarakat Persia.

Zoroastrian Fire Temple, atau juga dikenali sebagai Atashkadeh merupakan tempat suci untuk pengganut Zoroastrianism. Dibina pada tahun 1934, mempunyai/ mengandungi 16 jenis api yang paling tinggi menurut Zoroastrianism yang dikenali sebagai Atash Behram.



Di Zoroastrian Fire Temple, korang boleh tambah ilmu dengan lebih mendalam tentang kepercayaan agama mereka seperti kenapa mereka sembah api tu, dan macam mana api tu boleh menyala tanpa terpadam selama bertahun lamanya dari 470 AD.

Kalau jalan-jalan kat pasar yang menjual barangan tempatan, boleh jumpa banyak simbol Zoroastrian terutamanya pada seni buatan tangan dan pada kebanyakan perhiasan dinding rumah dan tempat awam. Sampai sekarang pun mereka masih sambut festival berkaitan Zoroastrian.

(Nota: Saya masih menghormati dan percaya pada agama saya, Islam.)


Narin Castle

Istana Narin yang terletak di pekan kecik Meybod merupakan istana yang khas kerana dibina menggunakan tanah liat pada 2000 tahun dahulu. Struktur istana ini dibina sehingga ketinggian 40 meter. Penat juga nak naik tangga sampai atas.

Kawasan Narin Castle walaupun sudah tak sempurna, tapi masih kukuh. Struktur istana ada 4 menara yang mengelilingi kawasan istana. Ada kawasan tinggi yang boleh di akses melalui 2 tangga utama, juga ada bilik bawah tanah yang dipercayai digunakan sebagai penjara.

Saya sarankan gagahkan diri untuk naik sampai ke atas. Korang boleh tengok struktur istana zaman dahulu kala dengan lebih dekat  dan juga permandangan kawasan sekeliling.





ESFAHAN, IRAN

Chehel Sotoun Palace

Chehel Sotoun yang juga membawa maksud “Forty Columns”, yang membawa maksud 40 tiang utama yang memegang banggunan ini. Tapi sebenarnya ada 20 je, tapi sebab pantulan air dari kolam kat depan istana ni, maka ia digelar 40 tiang besar.

Chehel Sotoun Palace digunakan oleh raja Savafid sebagai pusat hiburan dan majlis keraian. Banyaklah lukisan yang ada di dinding dan siling banggunan ni yang menceritakan tentang kehebatan, kemahsyuran dan sejarah pemerintahan.

Sayangnya tak semua bahagian dibuka sebab masih dalam kerja baikpulih siling banggunan dan pemuliharaan lukisan yang ada disini.




Naqsh-e Jahan Square

Naqsh-e Jahan Square juga dikenali sebagai Imam Square. Kalau tengok saja, square ni macam biasa-biasa je, tapi bila dah masuk pintu besar, rupanya besar sampai dapat pengiktirafan daripada UNESCO World Heritage Site dengan keluasan 89,600 meter persegi.

Disini juga terletaknya Ali Qapu Palace, Masjid Sheikh Lutfallah, Masjid Imam dan Grand Bazaar. Mudah kan, datang satu tempat je, tapi dapat melawat banyak tempat bersejarah yang lain sekali. 

Selain daripada bazaar yang popular dan melawat tempat yang ada disini, korang juga boleh buat aktiviti lain seperti menaiki kuda mengelilingi dataran atau hanya duduk chill, berkhemah sambil makan ais krim kat sini. Seronok layan angin nyaman.





Imam Grand Bazaar

Bazaar ni memang terletak dikawasan dataran dan merupakan tarikan utama kenapa pelancong dan penduduk setempat datang untuk membeli belah. Besar bazaar ni, dekat 1 jam juga saya berjalan. Kena pandai survey barang, ada yang murah, dan ada yang mahal.

Apa yang saya perhatikan, kebanyakan barangan dapur seperti pinggan ceramik dan silver kat sini murah, tapi kalau cari beg atau baju, mahal sikit berbanding di Shiraz. Yang mencari nak beli kacang, rempah atau nak mencuba makanan jalanan Iran, boleh jumpa semua kat sini.





Masjid Imam

Masjid Imam yang dibina pada tahun 1629 terdiri daripada kubah besar yang bewarna biru dan 4 menara. Kubah dia besar dan bersinar, kalau korang kat berada di kawasan Naqsh-e Jahan Square, sure tahu yang mana satu Masjid Imam.

Senibina Masjid Imam memang memukau mata. Boleh nampak butiran yang ada pada tiang menara dan sekeliling masjid. Dengan kombinasi warna turquoise dan warna kuning keemasan mozek banggunan, menjadikan ianya diambil dari senibina arkitek Iranian.

Pada kawasan mihrab masjid pula ada mozek yang mengandungi tulisan ayat daripada Al-Quran. Kalau pandang atas pula boleh tengok signature kebanyakan masjid yang ada di Iran. Sebahagian kawasan masjid ini juga dalam proses pembaikpulih.

 






Khajoo Bridge

Jambatan Khajoo telah dibina pada zaman pemerintahan raja Safavid Shah Abbas II. Khajoo Bridge merupakan jambatan yang tertua di Iran yang masih berfungsi dengan usia 350 tahun. Dibaikpulih pada 1873, sekarang hanya digunakan untuk pejalan kaki sambil menikmati permandangan cantik.

Pada abad ke 17, Khajoo Bridge bukan sahaja berfungsi menghubungkan 2 kawasan melalui sungai Zayandeh, tetapi juga dibina untuk fungsi empangan dan sebagai tempat perjumpaan dan perbincangan.

Keunikan Khajoo Bridge adalah dibina dengan batu dan tanah liat dengan keluasan 24 ekar, menggunakan 133 meter kepanjangan dan 12 meter lebar. Kalau zaman dulu, bahagian atas jambatan ni digunakan untuk kenderaan dan bawah untuk pejalan kaki.


Antara keunikan yang paling menonjol sekali di kawasan Yazd dan Esfahan adalah kebanyakan banggunan disini dibina dengan menggunakan batu dan tanah liat. Saya diberi kesempatan untuk bermalam di hotel yang dibina dengan tanah liat.

Bila fikirkan, untuk kawasan yang baru membangun ni, kalau rumah atau banggunan yang dibina dengan tanah ni, mudah nak dirobohkan sebab zaman dulu kawasan tu tak ada perancangan. Walaupun dibina dengan tanah liat, kukuh tau banggunan dia.



Facebook Heritage One Stop Travel:
www.facebook.com/HOSTravel


 Entry lain berkaitan negara Iran:
1. Travelog Iran: Pengalaman ke Negara Parsi, Iran
2. Travelog Iran: Teroka Sejarah Iran di Shiraz
3. Travelog Iran: Apa Nak Buat Dalam 1 Hari di Tehran
4. Travelog Iran: Main Salji di Tochal Ski Resort, Tehran

With love,

No comments:

Post a Comment

Sila comment dengan perasaan yang teruja dan gembira supaya anda gembira selalu ^_^